MadnessDeal.com - Sepakat membawa JIMAT!

oleh sorensen pada 23 Disember 2010 dalam

Begitulah lebih kurang kesimpulan aku terhadap laman online shopping ini. Konsepnya agak baru, tapi sangat mudah untuk difahami. MadnessDeal.com mengamalkan sistem pembelian pukal secara berkumpulan dengan harga diskaun terhad, di mana tawaran harga rendah untuk sesuatu produk atau servis itu akan diperolehi sekiranya jumlah para pelanggan yang bersetuju menempahnya mencapai sasaran yang telah ditetapkan sahaja. Sekiranya gagal mencapai sasaran pelanggan yang ditetapkan, maka tawaran tersebut akan ditutup dan para pelanggan yang telah membuat penempahan tadi tidak akan berjaya mendapatkan produk/servis tersebut pada harga istimewa yang telah ditawarkan.

Pada masa ini, hanya satu produk yang ditawarkan pada satu-satu masa. Aku memilih untuk mendaftar di laman ini sebagai persediaan sekiranya ada di antara produk yang hendak ditawarkan itu nanti menepati keperluan atau kehendak aku. Siapa tahu mereka mungkin bakal menawarkan gadget berteknologi tinggi pada harga di luar jangkaan?

Jom, daftar DI SINI sekarang!


Comments seterusnya...

BlogLarian - Satu revolusi blogwalking

oleh sorensen pada 09 Disember 2010 dalam

Sebagaimana biasanya kita rasa tertanya-tanya apabila melihat sesuatu yang baru, macam itu jugalah rasanya fikiran aku bila pertama kali membuka laman BlogLarian. Pada mulanya aku kurang faham cara laman ini berfungsi, bagaimana ia memudahkan blogwalking. Kerana jika laman utamanya dibuka, apa yang tertera hanyalah beratus-ratus link ke laman blog lain. Dan blog aku adalah satu daripadanya, yang tertera di 'rumah' ke-3 laman BlogLarian. Masih samar-samar sehinggalah aku mengklik pada entry 'rumah' tersebut.

Rupa-rupanya, WOW!!!

Barulah aku faham fungsi BlogLarian yang sebenarnya. Setiap satu entry yang telah direka itu bukan sekadar mengandungi senarai link, tapi sekiranya ia di klik kesemua halaman blog yang disenaraikan itu akan dipaparkan dalam satu page! Ini bukan sahaja memudahkan para blogger untuk melakukan blogwalking, tapi juga sangat membantu meningkatkan UV dengan lebih pantas. Tahniah kepada pereka BlogLarian iaitu saudara Padel dan Furdunesia, ia satu idea yang genius! :)

Pada masa ini BlogLarian masih lagi dibangunkan. Dan kepada rakan-rakan blogger yang ingin blog mereka turut disenaraikan, bolehlah request permohonan anda di laman BlogLarian. Aku sudah melihat kelebihannya dari segi peningkatan UV. Tak percaya?

Jumlah UV dengan BlogLarian sebagai referrer

Akhir kata, sama-samalah kita memartabatkan industri berblogging negara. Wah!!! :P


Comments seterusnya...

DiGi Limited Edition Internet Prepaid

oleh sorensen pada 03 Disember 2010 dalam , ,

Tak pernah terfikir rasanya bagi aku untuk memandang telco jenama yang satu ini sebelumnya. Sebab kat tempat aku, DiGi merupakan antara telco yang paling kurang kompetitif di antara ketiga-tiga telco yang ada, disebabkan faktor liputannya yang sangat lemah di tempat kami. Jadi sebelum ini kalau ada sebarang promosi atau plan baru yang ditawarkan oleh DiGi, aku tak ambil perhatian sangat. Umum pun tahu kalau dari segi perkhidmatan suara DiGi memang antara yang menawarkan harga paling berpatutan, tapi memandangkan itu bukan keperluan utama aku (di samping ahli keluarga dan kawan-kawan yang sangat sedikit menggunakan DiGi) aku malas hendak ambil pusing.

Cuma baru-baru ini aku terperasan dengan plan data wireless broadband tanpa had DiGi Limited Edition Internet Prepaid. Mulanya abang aku yang cadangkan aku beli sim pack ni memandangkan harga langganannya paling murah setakat ini berbanding Celcom dan Maxis (RM10 untuk 5 hari). Mulanya aku fikir mungkin kadarnya sama saja, tapi bila diselidik rupanya memang berbeza dengan DiGi easy dan plan-plan yang lain.

Dan satu hal lagi, sim pack ini adalah edisi terhad. Jadi sekiranya stok yang sedang ada di pasaran sekarang sudah habis terjual, maka pengeluaran sim pack untuk plan ini akan dihentikan. Pada dasarnya, DiGi menggunakan sistem pemasaran plan secara bermusim. Sistem dan kadar yang ditawarkan untuk satu-satu plan akan kekal sepertimana ketika plan tersebut dipasarkan dan tidak akan tertakluk kepada sebarang perubahan pada plan-plan baru yang akan mereka keluarkan pada masa akan datang (contohnya seperti plan Happy dan sebagainya).

Disebabkan itu, aku terus terfikir untuk mendapatkannya sebelum pengeluarannya dihentikan. Kakak ipar aku memberitahu ketika dia membelinya di Sarikei bulan lepas hanya terdapat satu kedai servis DiGi yang menjual sim pack tersebut, itupun hanya empat pack yang tinggal pada ketika itu. Kerana tidak mahu mengambil risiko dan membuang masa, aku cuba mencarinya di Lelong.com.my dan menempahnya dari sebuah online store yang terletak di Terengganu.

Walaupun di tempat aku masih belum terdapat perkhidmatan 3G/jalur lebar daripada DiGi (hanya GPRS buat masa sekarang) tidak rugi rasanya mengambil langkah selamat. Lagipun sudah hampir dua tahun plan prepaid broadband diperkenalkan oleh Celcom dan Maxis namun hingga sekarang belum ada tanda-tanda harga langganan mingguannya akan diturunkan. Jadi aku bercadang untuk terus mengaktifkan sim pack tersebut untuk faedah masa hadapan, sekurang-kurangnya sehingga ada di antara mereka yang memperkenalkan plan data prabayar lebih berpatutan berbanding kesemua yang ada sekarang.


Comments seterusnya...

1st income from Nuffnang!

oleh sorensen pada 19 November 2010 dalam

Suka la kan dapat duit? =P

Sebenarnya Nuffnang cashout ni aku dah perform since pertengahan September lepas lagi. Mula-mula tu agak risau jugak la sebab tunggu punya tunggu, tak dengar khabar berita apa pun. Mana la tau kan, akaun kena suspend ke. Maklumlah bab-bab duit ni bukan boleh main-main.

Dan aku ingatkan diorang punya sistem pun sama macam YS, terus bank-in dalam account (aku pun lupa masa cashout hari tu whether diorang ada bagi pilihan nak terus bank-in atau nak poskan cheque). Tapi alhamdulillah, siang tadi sampai jugak akhirnya. Walaupun tak banyak, tapi cukup la buat permulaan untuk masa ni.

Cuma aku belum berapa puas hati sebab site ni belum pernah achieve buffered earning lagi. Hmm, bukan senang kan nak dapat 200 UV sehari dan maintain jumlah yang sama dalam tempoh tertentu. Lately pun update agak slow sikit, dan aku agak kurang rajin nak blogwalk kebelakangan ni. Bukan sebab apa pun, cuma tak ada mood je.

So, aku dah dapat dah. Untuk kawan-kawan Nuffnangers, all the best!!


Comments seterusnya...

Aidiladha

oleh sorensen pada 17 November 2010 dalam

Aku datang memenuhi panggilan-Mu, Ya Allah!
Aku datang memenuhi panggilan-Mu
Aku datang memenuhi panggilan-Mu, (Tuhan) yang tidak ada sekutu bagi-Mu
Aku datang memenuhi panggilan-Mu
Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kekuasaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.



Comments seterusnya...

Start Menu terbuka sendiri?

oleh sorensen pada 05 November 2010 dalam ,

Dalam kegembiraan menyambut kembali "kepulangan" laptop aku yang dah lima bulan "mematikan diri" sejak awal minggu lepas, timbul satu masalah yang telah menyebabkan kepala hotak aku hampir pecah. Kalau sebelum ni, satu persatu masalah hardware laptop ni pernah berjaya aku selesaikan, kali ni aku bertarung dengan masalah baru pulak.

Start menu terbuka sendiri.

Dan ianya akan terbuka, terbuka dan terbuka lagi seolah-olah dalam masa seminit aku mengklik Start menu sampai 20 kali! Boleh tak korang bayangkan betapa annoying situasi tersebut? Dan bukan itu saja. Semua jenis application yang sepatutnya hanya akan dibuka kalau aku menngunakan kombinasi start button bersama aksara huruf (contohnya "Start button+L" untuk membuka Lock Windows) akan turut terbuka walaupun tanpa menekan start button itu!

Google telahpun digunakan (keyword: "start menu opens by itself"), dan ternyata bukan cuma aku seorang saja yang mengalaminya, bahkan ada seorang lagi manusia yang pernah merungut tentang perkara ini di sini. Dan setelah membaca post beliau, ternyata tiada seorang pun yang tahu apa punca dan bagaimana untuk mengatasi/menyelesaikannya. Dan akhirnya, aku terpaksa mencari penyelesaian sendiri. Setelah mengimbas hard disk dan mendapati tidak terdapat sebarang ancaman virus/malware, cuma ada satu saja kemungkinannya yang paling hampir dan logik.


Ya, Start Button. MANGKUK INI SUDAH ROSAK!!!

Pada mulanya memang aku perasan yang start button di sebelah kanan space bar sudah tidak berfungsi lagi apabila ditekan. Cuma, aku agak lambat menyedari kalau inilah punca semuanya berlaku! Aku mengandaikan punat ini tidak berfungsi lagi ketika ditekan, disebabkan bahagian dalaman punat tersebut sentiasa "ditekan" sepanjang masa menyebabkan start menu dan semua fungsi shortcut key yang menggunakan kombinasinya terbuka sendiri! Jadi memandangkan aku memang tidak mampu dan tidak mahu membuang masa "merobek" laptop ini sekali lagi, apakah jalan yang paling bijak untuk menyelesaikannya?

YA BETUL, DENGAN MEMATIKAN FUNGSI START BUTTON TERSEBUT!!!

(klik utk besarkan)

Apa yang korang nampak kat atas adalah site untuk download patch mematikan/menghidupkan fungsi punat tersebut. Sebenarnya ada arahan untuk melakukannya secara manual (dengan mengedit registry), cuma aku malas nak buat. Nak buat apa susah-susah kalau ada cara yang lebih senang kan? Anyway, site kat atas ni boleh dicapai di sini.

Dan hasilnya? Start menu tak terbuka sendiri lagi!!!



Comments seterusnya...

Maxis 3G sudah tiba!

oleh sorensen pada 26 Oktober 2010 dalam , , ,

Terasa masih segar dalam ingatan, suatu ketika dalam pertengahan tahun lalu aku pernah menceceh melepaskan rasa tidak puas hati terhadap ketiadaan liputan 3G di tempat aku. Entry pertama aku tentang rungutan terhadap 3G (klik sini) telah membawa outcome yang agak baik kerana akhirnya pada akhir tahun lepas, Celcom telah memperluaskan liputan 3G mereka ke kawasan kami (klik sini). Namun demikian, aku telah menyambutnya dengan dingin kerana aku boleh meramal seberapa teruk perkhidmatan 3G yg bakal diberikan oleh Celcom. Dan ramalan aku benar, walaupun ramai yang melanggannya tapi reaksi yang aku dengar adalah sama. Sangat lembab. Dan aku sendiri yang kadangkala terpaksa menggunakannya ketika perkhidmatan Streamyx sedang mengalami gangguan terpaksa berpuas hati dengan kelajuan maksimum 20KBps (kebanyakan masa hanya mencapai 15KBps, kelajuan yang sangat memalukan bagi sebuah syarikat yang mengakui dirinya menyediakan perkhidmatan BROADBAND). Tapi disebabkan tiada pilihan lain terpaksa jugalah memilihnya sebagai alternatif kepada Streamyx pada ketika itu.

Bermula pertengahan Oktober lalu Maxis telah memperluaskan perkhidmatan 3G ke hometown aku, mengakhiri penantian yang cukup menyiksakan selama setahun setengah. Percubaan pertama menggunakan Maxis Prepaid Broadband selama sejam tadi amat memuaskan. Kelajuan 260KBps itu sesungguhnya bagaikan mimpi, kerana hampir 2 tahun menggunakan Streamyx sekalipun aku tidak pernah melihat sambungan selaju ini, apatah lagi daripada perkhidmatan broadband tanpa wayar. Walaupun aku menyedari hakikat ini mungkin disebabkan masih belum ramai pengguna yang menggunakan Maxis Broadband di tempat kami, tapi aku percaya ini adalah satu permulaan yang baik. Masakan tidak. Sepanjang pengalaman aku menggunakan Maxis Prepaid Broadband sewaktu study, kelajuan maksimum yang dijanjikan (384kbps atau 48KBps) sentiasa dimanfaatkan sepenuhnya dalam apa jua keadaan sekalipun. Walaupun terdapat beberapa pengalaman kurang enak berkenaan penyelewengan kredit panggilan, sekurang-kurangnya dari sudut kualiti perkhidmatan aku harus memberikan pujian terhadap Maxis kerana ia adalah yang terbaik antara kesemua penyedia perkhidmatan yang ada.

Dan dengan perkembangan ini pastinya, perkhidmatan jalur lebar di tempat kami akan menjadi lebih selesa!


Comments seterusnya...

Graduasi...

oleh sorensen pada 13 Oktober 2010 dalam ,

Beratur di bawah panas terik di luar, menunggu giliran masuk ke dalam dewan untuk majlis perarakan para graduan disaksikan oleh para ibu bapa dan sekalian ahli keluarga. Tubuh lencun di dalam busana formal dilitupi jubah tebal, dan dahi dibasahi keringat dek mortar board yang ketat disarungkan ke kepala.

Bagi yang pernah bergraduasi sebelum ini pasti tersenyum membaca pernyataan itu. Kerana bagi yang pernah mengalaminya, sebegitu jugalah yang telah aku lalui kelmarin.

11 Oktober 2010. Sesi keenam Majlis Konvokesyen UPM ke-34.

Segala penat lelah mengatur perancangan untuk majlis ini dirasakan begitu berbaloi. Aku beruntung. Sangat-sangat beruntung kerana setelah keluarnya dari dewan itu, ada keluarga di luar sedang menanti. Dan dirasakan satu kemegahan dalam diri tatkala memperkenalkan ibu dan abang kepada sekalian teman. Sehingga kini aku merasa sebak setiap kali teringat semasa abangku meraikan majlis yang sama 6 tahun lalu tanpa kehadiran ibu di sisi. Keadaan tidak mengizinkan pada waktu itu untuk membawa ahli keluargaku dari Sarawak datang bersama, dan barulah aku faham sekarang mengapa abangku begitu berkeras untuk membawa ibuku turut hadir pada majlis itu semalam.

Kerana jubah yang disarungkan itu tiada maknanya, jika tiada potret orang yang paling penting di dalam hidup ini diabadikan bersamanya.

Dan kerana itulah dalam kekalutan mengejar masa untuk pulang selepas tamat sidang semalam, aku tebalkan wajah ini dalam keadaan masih bersarungkan jubah itu ke Sri Serdang semata-mata untuk pergi ke studio gambar untuk merakamkan foto konvo profesional bersama keluarga. Ibuku juga seolah-olah faham apa yang aku rasakan ketika itu, tidak membantah. Kasihan ibu terpaksa ikut menapak jauh ke studio itu, tapi demi sekeping foto graduasi satu-satu anaknya yang tinggal ini dia tahankan lelahnya.

Hanya selepas keluar dari studio itulah baru aku tanggalkan mortar board dan jubah itu. Sudah tiada apa lagi yang aku inginkan. Oh, mungkin cuma satu.

Membawa foto itu pulang ke rumah, melihat ayahku memahatkannya ke dinding dengan satu senyuman kepuasan di bibirnya, dan satu rasa kebanggaan dalam jiwanya.


Comments seterusnya...

Sebuah doa...

oleh sorensen pada 01 Oktober 2010 dalam



Cuma satu harapanku kali ini.

Semoga kejayaan yang diimpikan akan tercapai.


Diiringi doa ku panjatkan kepada-Nya dan asa yang tidak pernah putus-putus, supaya semuanya akan baik-baik saja. Harapan yang tinggi agar kesihatan, rezeki dan nasib menyebelahiku untuk mengecapi sesuatu yang telah lama sekali ku idamkan. Dan doa yang sama disertai sebuah pengertian amatku harapkan daripada ibu dan ayah yang sangat kusayangi.

Insya Allah.
Perkenankanlah Ya Allah.


Comments seterusnya...

Pantun Perdaya

oleh sorensen pada 20 September 2010 dalam

Pantun Perdaya

Sudah terhiris dicurah cuka
Pedihnya luka tersayat urat
Sukalah hati lupa dunia
Kumpulan rusa menghampir jerat

Mari ke mari datang merapat
Santap keria bersama ibu
Lakhnat perdaya Raqib mencatat
Manisnya kata bila menipu

Teduh laksana pepohon ara
Matanya redup teruna sunti
Menipu di situ di sini di sana
Percaya hilang tidak berganti

Lesung dari Inderagiri
Lompang ibunya leper sekali
Melara hati merana diri
Gaung dicita tercucuh api

Gadis jelita memakai terompah
Manis tampaknya berbaju kebaya
Langit yang tinggi menjadi rendah
Kala helahmu tidak berjaya

Indah nian Irian Jaya
Angin berpuput pasir berbisik
Wajah gelita tiada cahaya
Itulah tanda manusia munafik

Sirih dikunyah sehingga lumat
Pinang terbelah kacip pun patah
Balasan dunia lewatnya umat
Akhirat kelak leburlah lidah

Mangkuk diikat menadah getah
Di dalam baju sekeping roti
Kata nasihat tidak diendah
Bila yang haram sudah sebati

Es lilin aduh sudah terpuji
Laris terjual dicari payah
Di depan teman ketawa mengeji
Di bawah tikar sujud menyembah

Malangnya nasib tunang pak dukun
Di kaki lima duduk terpaku
Lupakan saja pohonan ampun
Gelaplah kuburmu tanpa maafku


Comments seterusnya...

Syawal menjelma lagi...

oleh sorensen pada 08 September 2010 dalam ,

Dah nak sampai ke penghujung pun Ramadhan tahun ni, tak terasa sekejapnya masa berlalu. Well, nampaknya bulan puasa tahun ni agak berbeza sikit dpd beberapa tahun kebelakangan. Yelah, sekarang kan aku bukan student dah. So, bila dah berpuasa kat rumah ni aku rasa macam stabil sikit daripada masa kat kampus dulu. Dulu sahur sorang2, berbuka pun sorang2. At least bila dekat dengan family ni rasa lebih bersemangat la. Cuma aku bosan je sebab tak dapat berbuka dengan kawan-kawan. Dan yang anehnya, bila berpuasa kat rumah ni makin bertambah-tambah pulak rasa lapar berbanding kat kampus dulu, padahal tak bergerak ke mana-mana pun.

Semalam omar contact minta aku tolong belikan dia tiket flight untuk balik. Adeh, makin bertambah2 la kerinduan aku masa zaman study dulu. Walaupun selalu risau dan kelam kabut disebabkan harga tiket flight, itulah yang menambah makna untuk pulang berhari raya di kampung. Melihat kelegaan omar selepas aku berjaya dapatkan tiket untuk dia tadi, aku pun tumpang gembira. Sebab aku pernah mengalami perasaan tu. Tiada perasaan yang lebih gembira apabila berjaya mendapat tiket untuk pulang ke kampung, sebab dengan adanya tiket itu bermakna tidaklah kita akan beraya bersendirian pada tahun tersebut :P Nasib kau baik omar, lepas pukul 12 tadi tiket MHlow terus sold out, nasib baik aku sempat beli pukul 11.30pm lepas blackout pulih. Dah rezeki kau la agaknya tu :)

Biskut? Memang tugas aku setiap tahun untuk mencarinya. Sebab cuma aku je yang expert mencari design biskut yang berpotensi 'menarik perhatian untuk dimakan' oleh tetamu masa raya nanti. Tapi macam tu lah kat sini, tak banyak pilihan sangat pun berbanding kat semenanjung. Kalaulah aku ada kat sana sekarang, tah berapa banyak agaknya biskut kat Giant tu aku borong. Biskut-biskut yang aku beli selalu mendapat pujian daripada makcik-makcik aku sebab lawa-lawa semuanya, dan rasa pun boleh tahan. Bukan takde kat sini, cuma kebanyakan daripada biskut yang seumpamanya adalah homemade dan harganya agak mahal. Dan tahun ni, tiada Almond London yang akan dihidangkan sebab aku gagal mendapatkannya pada harga yang berpatutan. Sedih! :(

Apapun, persiapan raya tetap diteruskan walau apapun terjadi. Shopping baju tetap walaupun sale kat sini tak semeriah kat sana (jelesnya aku!!!). Tak penat sangat kot preparation tahun ni sebab tak buat kek langsung, mak aku tempah je. Kakak ipar pun ada bagi sikit. Just tukar sarung kusyen dengan langsir, dan boleh bersiap-siap untuk melaram di pagi raya =)
Justify Full
Salam Aidilfitri.
Maaf Zahir dan Batin.


p/s: Spirit raya agak kencang tahun ni. Rasa bersemangat sangat, tak tahulah kenapa.


Comments seterusnya...

Khalifah - Lagu Untuk Adinda

oleh sorensen pada 28 Ogos 2010 dalam



Lagu ni memang berhantu. Rasanya takde lagi kot setakat ni aku jumpa lagu yang dah berbulan2 diputarkan di radio, tapi belum ada sorang manusia pun kat muka bumi ni yang upload versi putaran radionya ke internet! Kalau google nama lagu ni, korang akan nampak public listing dari serata tempat dalam log search engine, tapi akhirnya korang akan kecewa sebab korang tetap takkan jumpa lagu ni!

Dan sebab tu la pagi tadi, aku gigih bangun awal. Sanggup menyambungkan dekoder Astro ke PC, dan sanggup tunggu Hits Gegar ke udara di radio THR, semata2 nak rakam lagu ni untuk dilayan dgn Walkman. Mesti korang pun sama kan? Tapi disebabkan ini versi rakaman pertama dan ada certain part di depan dan belakang lagu terputus, maka aku tak bercadang untuk upload sebagai audio file di 4shared. So buat masa ni, korang layan jela version 80kbps yang aku upload kat Youtube ni ok! Enjoy!

Khalifah - Lagu Untuk Adinda

(Intro)

Kala ku terbayang
Wajahmu daku terkenang-kenang
Kadangkala pagi siang malam
Jadi gila bayang

Padamu duhai sayang
Kasihku hanya padamu seorang
Hanyalah dikau jadi pujaan
Cinta kanda sayang

(Korus)
Padamu duhai sayang
Yang jauh di rantau orang
Ingatlah pesanan dari kekanda

Jangan jangan bermain mata
Jangan jangan cuba mendua
Kasihku cintaku selamanya

Ku renung bulan bintang
Ku sampaikan kasih salam sayang
Ku serah segala tanda cinta buatmu adinda

Pada si rama-rama
Terbanglah dikau padanya si dia
Pesankanlah rinduku padanya
Rinduku padanya

(Ulang korus)

(Ulang intro)


Comments seterusnya...

Satu rasa dikongsi bersama...

oleh sorensen pada 21 Ogos 2010 dalam

Kata orang, sesuatu itu akan lebih bermakna sekiranya dikongsikan bersama. Tak kiralah sama ada ia sesuatu yang konkrit seperti makanan, sehinggalah kepada sesuatu yang diskrit seperti pengalaman. Perbualan di facebook dengan dua orang sahabat akrab awal pagi semalam begitu mencuit hatiku. Kerana aku tidak menyangka sebuah entry berkisar mamee sllrrrp yang aku tulis beberapa minggu lalu (klik sini) telah memberi impak kepada hidangan sahur mereka!

Entah macam mana, lepas sahur awal pagi semalam tergerak hati pulak aku nak login facebook. Lepas belek wall kawan2, tiba2 aku terjumpalah satu status seorang kawan ni yang aku rasa topiknya sangat dekat dengan aku. Dan bila aku tengok komen member lagi sorang kat status tu, aku terus tersenyum sebab memang diorang seru nama aku pun huhuhu!!!

Inilah perbualan di facebook yang aku maksudkan. Watak2 yang terlibat adalah Pzot a.k.a Lady Zaza (Bestfriend A) dan Pdot a.k.a Sheeshee (Bestfriend B) manakala TUAN PUNYA BLOG itu tak lain tak bukan adalah aku of course! (nama sebenar kami terpaksa dirahsiakan untuk tujuan privasi =D)

Untuk entry terakhir mamee sllrrrp ini, aku telah bercadang menulis tentang pengalaman menikmatinya bersama teman2. Namun idea ke arah itu amat sukar sekali, kerana aku dan kawan2 pada masa ini sudah berjauhan dan tidak lagi berada di tempat yang sama. Namun apa yang berlaku pada awal pagi semalam ini, sememangnya berada di luar jangkaanku.

Mungkin cuma aku dan sahabat-sahabat yang faham erti kebersamaan bagi kami. Lihat saja, walaupun aku tidak dapat merasai pengalaman untuk makan bersama mereka atas faktor jarak, adakah bermakna mereka tidak dapat 'menikmatinya' bersamaku? Tidak, kerana bagi kami jarak bukan penghalangnya. Adanya sepaket mamee sllrrrp di hadapan mereka ini sudah mampu membuatkan aku tersenyum, kerana aku tahu mesej yang aku cuba sampaikan pada entry mamee sllrrrp yang lepas sudahpun sampai kepada mereka. Dan aku gembira, kerana aku berjaya berkongsi perasaan itu walaupun tanpa berada di samping mereka. Sepaket mamee sllrrrp yang sama, dan sebuah perasaan yang sama.

Semangkuk mamee sllrrrp asam laksa bersama hirisan-hirisan sosej, sebelum ini mungkin hanyalah sebuah hidangan bagiku. Tapi sekarang aku tahu, kiranya hidangan itulah yang membuatkan sahabat2 ini selalu terasa dekat denganku :)



Comments seterusnya...

Perihal penyembuhan OZON

oleh sorensen pada 19 Ogos 2010 dalam

Kita sedia maklum bahawa usaha besar-besaran sedang dilakukan untuk memulihkan lapisan ozon bumi daripada terus menipis. Namun tahukah anda bahawa, penemuan saintis menunjukkan pemulihan lapisan ozon juga mendatangkan dampak negatif terhadap iklim Bumi? Hari ini saya kongsikan sebuah artikel, yang dipetik dan diterjemah daripada Popsci.com.

Sedikit gambaran tentang lapisan ozon

Lubang ozon di atas benua Antartika mula ditemui pada tahun 1985, yang mana ia adalah kesan akibat penggunaan klorofluorokarbon (CFC) terutamanya untuk pendingin hawa dan propellants. Ketika CFC sampai ke lapisan ozon, ia membebaskan atom klorin yang membelah ozon dan mengupas lapisan pelindung suria semulajadi Bumi. Stratosfera, yang mana merupakan lapisan kedua dari atmosfera bumi selepas Troposfera (lapisan tempat tinggal kita) mengandungi 90% ozon bumi. Ia berada pada ketinggian 9.6 hingga 50 kilometer di atas bumi, zon di mana terdapatnya lapisan untuk memerangkap sinaran ultraviolet (UV) matahari yang paling merbahaya sebelum ianya sampai ke permukaan Bumi.

Simulasi hidup tanpa lapisan ozon yang terletak di stratosfera bumi amat menakutkan. Menurut Nasa Earth Observatory tanpa penampan sinaran UV ini, kita boleh terbakar akibat sinaran matahari walaupun hanya terdedah secara terus selama 5 minit.

Lubang ozon Antartika menggambarkan kenyataan sebenar kehidupan yang akan dilalui oleh manusia sekiranya tiada lapisan ozon. Sejak penemuannya pada tahun 1980-an, didapati banyak negara terutamanya Australia, New Zealand, Chile dan Afrika Selatan yang telah terdedah kepada ancaman penyakit seperti kanser kulit dan katarak.

Usaha besar-besaran telah dilakukan untuk mempercepatkan pemulihan ozon, termasuklah Protokol Montreal tahun 1987 dan pengawalan pembebasan CFC. Namun demikian, kajian Guang Zeng dan rakan-rakan dari Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera Kebangsaan New Zealand, menunjukkan pemulihan tersebut boleh mendatangkan dampak positif dan negatif dari sudut perubahan iklim. Penyembuhan lubang lapisan ozon yang menjadi pelindung Bumi mungkin akan turut disertai impak negatif yang mana hal ini boleh menyebabkan perubahan iklim dan menukarkan pola angin, merendahkan ketinggian ozon dari atmosfera ke permukaan bumi sekali gus menjadi punca utama kabut asap.

Penelitian yang terperinci dalam edisi Mei Geophysical Research Letters, mendedahkan bahawa variasi dalam kitaran atmosfera akibat perubahan iklim akan menyebabkan peningkatan 43 peratus dalam pertukaran gas antara stratosfera dan troposfera, lapisan hawa Bumi pada permukaan dan bekalan udara kita. Kerana semakin banyak ozon di stratosfera diisi kembali, semakin banyak juga ia akan meresap masuk ke dalam oksigen yang kita hirup. Ozon pada ketika ini juga sudah terdapat di troposfera walaupun ianya terbentuk daripada asap kenderaan dan pencemaran-pencemaran lain. Hal ini boleh membahayakan sistem pernafasan manusia dan persekitaran.

Menurut ramalan komputer model kajian Zeng, sekiranya kadar karbon dioksida di atmosfera terus meningkat seperti yang diramalkan maka lapisan ozon akan mula mendingin dan mengaburkan batas suhu yang memisahkannya dari troposfera. Dalam abad yang akan datang, ozon bakal lebih banyak meresap ke dalam udara kita.

Zeng berharap kajian pada masa hadapan akan memberi gambaran yang lebih baik dan tepat terhadap komposisi atmosfera baik stratosfera mahupun troposfera, serta pergerakan ozon antara kedua-duanya termasuk masa depan lingkungan bumi.


Comments seterusnya...

Murtabak mee...

oleh sorensen pada 13 Ogos 2010 dalam

Bulan2 puasa ni aku teringat dengan murtabak. Top favorite aku murtabak daging, lepas tu baru la murtabak ayam, roti canai telur dan yang sespesis dengannya. Huhu!! Ala, aku belasah je pun sume, takde la favorite2 sangat.. bulan puasa kalau dah lapar, tengok benda ni sape yang tak excited betul tak? Aku tau korang pun macam tu kan?

Geng2 kitorang kat kampus dulu suka main masak2 dengan periuk nasi elektrik, so periuk nasi tu dah jadi periuk serbaguna la.. utk goreng telur, utk masak sup dan pernah juga memasak kuih buah melaka sekali masa bulan puasa. Giler tak kitorang? Dan lepas tu sorang member ni pernah beli mee segera banyak2, ingatkan untuk masak mcm biasa je makan dengan member2. Tapi bila tanya, dia kata dia nak buat murtabak. Aku tercengang kejap... murtabak?

Korang pernah dengar tak murtabak mee segera?

Macam ni la lebih kurang rupanya...

Lepas confirmkan balik resipinya dengan member tu beberapa hari lepas, aku decide untuk try masakan ni dengan mamee sllrrrp kari berapi. Bahan utamanya cuma telur, dan bahan tambahan lain terserahlah pada korang sama ada nak bubuh daging, sayur-sayuran, bawang, hirisan sosej dan sebagainya. Caranya pun senang je:

1) Rebus mamee sllrrrp korang sampai empuk, dan toskan airnya sehingga kering.

2) Gaulkan mee tadi bersama telur, kemudian masukkan perencah. Gaul lagi sampai rata.

Justify Full3) Bila dah rata, baru korang masukkan bahan2 lain yang korang dah sediakan tadi.

4) Goreng seperti menggoreng telur dadar di atas kuali leper, sehingga masak dan berwarna kuning keemasan.

5) Potong dan sedia untuk dihidangkan!

Selamat mencuba ye!


Comments seterusnya...

Kampus Timur UNIMAS terbakar!

oleh sorensen pada 10 Ogos 2010 dalam ,

Aku pernah menuntut di kampus ini dari pertengahan tahun 2004 sebelum mengambil keputusan keluar pada tahun 2006 untuk menukar haluan pengajian. Kampus timur UNIMAS masih lagi menempatkan dua fakulti iaitu Fakulti Sains Sosial (FSS) dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP) manakala fakulti-fakulti lain sudah pun berpindah ke kampus barat semenjak tahun 2007.

Takdir Allah tiada siapapun yang mampu menghalangnya. Aku menerima mesej dari seorang teman lama sekitar jam 11 malam semalam, memberitahu bahawa sedang berlaku kebakaran besar di kampus timur UNIMAS. Walaupun aku punya memori pahit dan kesedihan terpendam di tempat ini, namun inilah tempat yang pernah menemukan aku dengan sahabat-sahabat baik yang aku ada sekarang.

Lihat, kawan-kawanku. Tempat yang pernah menemukan kita kini sudah ranap dimamah api!

Inilah bangunan pentadbiran fakulti kami, FSS. Yang kini sudah tiada lagi.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada blogger Asmayla, siapapun beliau dan dari mana pun sumber beliau mendapatkan gambar-gambar ini kerana sudi berkongsi. Sehingga waktu ini, belum ada terdengar mana-mana berita dari media yang memberi liputan jelas tentang punca kebakaran. Sama-sama kita nantikan.


Comments seterusnya...

Khalas!!! - Memori sebuah Ramadhan...

oleh sorensen pada dalam

Suatu hari dalam bulan ramadhan dua tahun lepas. Petang tu, dbong datang dari KPZ ke kolej aku untuk berbuka sama2. Dah siap2 semua makanan kat atas lantai bilik aku, baru je kami nak duduk tiba2 pintu bilik diketuk. Hairan aku, sebab kat blok kolej tu memang aku takde sorang kawan pun.. dan pintu aku tak pernah diketuk. Kiranya semua jiran2 aku kat situ stranger la bagi aku. Dengan penuh risau dan curious, aku suruh dbong je yang bukakan pintu. Pastu aku dgr, dbong speaking dgn orang tu.. tak lama pastu dbong masuk balik dengan sebiji mangkuk politena di tangannya.

Kata dbong, yang bagi benda tu tadi rupanya sorang jiran pak arab aku yang tinggal di floor yang sama. Tak pernah berbual, just senyum2 camtu je selama ni. Datang nak bagi sedekah hidangan berbuka rupanya. Bayangkan semangkuk bubur nasi kuning mcm kat atas ni, dengan bau kulit kayu manis yang sangat kuat ditambah lagi dengan sesudu serbuk kulit kayu manis yang ditabur di atasnya. Mesti korang tertanya2, apakah bendanya itu kan? Itulah yang aku dgn dbong fikirkan.

"Apa benda ni dbong?," tanya aku. Maklumlah, dbong ni 'darah arab' dia pekat sikit. Bukan sebab dia keturunan arab, tapi sebab dia minat dengar lagu arab! Huhu! Dbong pun kata dia tak tau, so bila lps azan tu aku dgn dia pun sama2 la rasa bubur misteri tersebut.

Bila mula disuap, aku relax je. Dbong plak tak bersuara, tak tau nak cakap apa. Kami pun mula berbincang pasal rasa bubur tu, dan ala2 seorang pengkritik makanan aku pun mula komplen.. mengatakan kalau rasa bubur itu lebih sedap kalau takde serbuk kulit kayu manis di atasnya. Dbong pun setuju, padahal hakikatnya kami tak tau pun apa jenis makanan itu sebenarnya.. dan tak tau jugak kenapa serbuk kulit kayu manis perlu ditabur di atas bubur nasi yang manis itu! Akhirnya, aku dengan dbong pun sepakat. Sepakat untuk memberikan nama bubur itu.

Bubur Al-Khalas.

Khalas dalam bahasa arabnya bermaksud CUKUP. Maknanya, sesiapa saja yang makan bubur itu akan menjerit "Khalas!! Khalas!!" selepas beberapa suapan, kemudian menutup mulut dan menuangkannya ke dalam sinki kerana tidak tahan lagi dengan rasanya yang pelik.

Terasa berdosa sebab membuang pemberian ikhlas orang, apa lagi di bulan Ramadhan. Apa boleh buat, itulah yang dikatakan sebagai pertembungan budaya. Yang mana, tidak semua yang ada di dalam kebudayaan orang lain tidak kiralah dari segi makanan, mahupun perbuatan boleh diterima oleh kita yang berasal dari Nusantara.

Kenangan itu terimbas lagi sempena Ramadhan yang mulia ini. Kenangan lucu, yang akan terpahat selama-lamanya. Marhaban Ya Ramadhan. Selamat berpuasa :)


Comments seterusnya...

Jepun yang serba aneh...

oleh sorensen pada 07 Ogos 2010 dalam

Mesti ada antara korang merupakan penggila anime dari Jepun kan? Terus terang aku cakap, aku memang giler kartun Sailor Moon. Minat giler, sampai ke tahap maut punyer.. even sampai sekarang ni walaupun dah hampir 10 tahun citer tu selesai ditayangkan kat TV malaysia, aku still tengok dvd nyer berulang2 tanpa bosan. Dulu jugak penah berlaku demam 'dorama' dari Jepun. Bukan doraemon ye, 'dorama' tu nama panggilan untuk drama dalam bahasa Jepun. Simptomnya pun sama jugak, sampai sekarang ni aku akan cari mana2 yang best aku pernah tengok kat tv dan tengok berulang2 kali lagi.

Dah lama2 tu aku terfikir, kenapa ye aku giler sangat rancangan2 dari Jepun ni? Nak katakan pelakon drama diorang tu hot, rasanya pelakon2 Korea lagi hot kot. Tapi aku tak minat pun cerita2 Korea. Hmm.. mungkin la jugak, sebab produksi2 diorang di layar perak dan di kaca TV tu mencerminkan kebudayaan diorang. Bila dah lama tengok Jepun melalui media, terasa teringin sangat nak pegi ke sana tengok sendiri keadaannya.

So, aku surf la lagi cari gambar2 dan video dari Jepun. Entah mcm mana, terjumpa la satu site ni.. yang menyenaraikan benda2 dan pemandangan pelik yang ada di sana. Ada yang buat dahi aku berkerut, ada yang buat aku gelak mcm orang gila sorang2.. yang pasti lepas tengok gambar2 ni aku makin teringin nak pegi sana! Adehh...!!

Memang NEKAD la korang kalau pakai model ni kat Malaysia

Bubuh kat dinding watpe? Letak kat baju terus lagi cepat sejuk betul tak..

Bubuh kat rumah satu. Senang sket kalau tetamu datang kan?

Gempa bumi? Takyah risau dah, rumah hari2 terbalik..

La.. pokemon je ke? Agak2 livery Sailor Moon ade tak?

Air mineral ni yang paling kurang lemak di dunia. Beli tau!

Punye la gile kan dgn Hello Kitty...

Dijamin takkan basah sampai kiamat...

Kasih ibu membawa ke syurga.. kasih ayah??

Rozita Che Wan? Sape tu?

Camne la kalau aku pegi Jepun esok ni? Yare yare.. ('alahai' dlm bahasa Jepun)

Dipetik daripada
Funlol.com.


Comments seterusnya...

Owh kenapaaa...

oleh sorensen pada 04 Ogos 2010 dalam

Uuuuuuu......

Waaahhhhhh....!!

UWWAAAAAAA!!!!!!!!!!

Huhu! Ni dah kali kedua aku kena dalam masa 2 minggu. Minggu lepas aku kena baucer MCD gak, tapi coke yg dalam tin nyer. Tak sempat snap pun tab coke yg tulis MCD tu, aku dah baling sbb frust katanyer. Aku mmg suka minum coke, tp masa sebelum tarikh tutup tu dulu tak pernah pulak dapat satu pun yg mcm ni. Nasib baik MCD je, kalau kne yang sony bravia tu mau terjun sungai aku.. haihhh!!

Naseb naseb...


Comments seterusnya...

Gile arh.. 1st award ever!!

oleh sorensen pada dalam

Ehek.. tetibe segan la plak. Bukan ape, tak biasa la main2 award neh.. tapi dah orang nak bagi tu amik jela. So ape lagi, masa untuk menjawab soalan2 bersyaratnya!!

1.Say thanx kat orang yang sudi tag tu..jangan lupe link kan sekali yer
-thanks enchek afiq atas kurniaan pertama nih.. muahkss!!

2.Tag 15 orang blogger yang anda pikirkan olalala tropika! fantastic bola bola! yaa reba ya rebba! hehehe..

-ok je!!

>>endicleo<<
>>alin<<
>>sumandak<<
>>perawan<<
>>ustazlove<<
>>bloggerman<<
>>is44c<<
>>akuvision<<
>>mijie<<
>>rimausakti<<
>>adamhaiqal<<
>>milofloat<<
>>fakhrurrazi<<
>>padel<<
>>azmi<<

3. Kene bagitau insan-insan yang bertuah kat atas ni menerusi chatbox dorang.

-harus!!!

4. Nyatakan 7 perkara tentang diri sendiri

-tanak la sume yang baik2 je.. kang org kata prsn lak huhuhu!!



Comments seterusnya...

Sape Mohd. Khairuddin ni?

oleh sorensen pada dalam

Mula2 hari tu makcik ni kuar kat YS...

Tetibe hari ni aku tengok kuar kat iklan nuffnang pulak! *pengsan!

Makcik ni mula popular beberapa minggu lepas apabila video pertamanya release kat youtube. Tajuk video tu adalah "Mak Youtube", yang mana kononnya merupakan seorang ibu yang merakamkan video untuk dikirim kepada anaknya bernama Mohd. Khairuddin yg sedang menuntut di KL. Mcm2 la citer2 klaka dan memalukan yang diceritakannya, termasuk la berpesan supaya anaknya itu menguruskan perbelanjaan dengan bijak. Setakat ni dah ada 3 video yang dirakamkan dan diupload ke youtube.

Mula2 kuar kat YS hari tu, ramai yang tertanya2 apa benda ni sebenarnya.. termasuk aku skali la. Kenapa kempen mcm ni pun ada.. makcik ni nak cepat glemer ker apa? Tapi hari ni bila ternampak iklan dia dah mula kuar kat nuffnang, aku mula nampak kempen commercial di sebalik video2 ni. Apa dia aku belum sure la, tapi yang pasti.. teknik pengiklanan ni sangat baru dan menarik. Mungkin dalam beberapa minggu lagi semuanya akan diketahui kot, hehe!

Kalau nak tengok video2 makcik tu, klik sini.


Comments seterusnya...

PENIPUAN Real Rewards...

oleh sorensen pada 02 Ogos 2010 dalam ,

Keluarga aku memang dah lama guna reward card ni, sejak mula2 ia diperkenalkan sejak tahun awal 2000 lagi. Dulu memang banyak syarikat yang membenarkan kita mengumpul mata ganjaran kad ni, termasuk TM dan Petronas.

PENIPUAN PERTAMA

Setelah lebih 3 tahun mengumpul mata ganjaran, pada tahun 2003 pihak Real Rewards telah menelefon ayah aku untuk 'memaklumkan' bahawa mata ganjaran kad dia sudah melebihi 20,000 dan bertanya sama ada ayah aku mahu menukarkannya kepada ganjaran. Tanpa memberi kesempatan kpd ayah aku untuk melihat katalog, Real Rewards telah secara sendirinya memberi cadangan sebuah pemain CD dan beg. Ayah aku pun bersetuju. Namun selepas 4 minggu dan barangan tersebut sampai, ternyata pemain CD yang diberikan adalah dpd jenis bermutu sangat rendah. Aku teliti semula katalog Real Rewards untuk tahun itu dan ternyata mata ganjaran kad ayah aku mampu menebus sebuah pemain DVD yg bermutu lebih baik (sekiranya mata ganjaran selebihnya tidak digunakan untuk menebus beg) namun demikian pihak Real Rewards mencadangkan produk yang tidak bermutu itu untuk diberikan kepada pelanggannya.

PENIPUAN KEDUA

Setelah lima tahun berlalu, pada tahun lepas Real Rewards telah melakukan perubahan besar-besaran yang mana ia tidak lagi menerima mata ganjaran daripada Petronas. Pada masa itu, para ahli diberi pilihan sama ada mahu memindahkan mata ganjaran yang ada ke dalam Kad Mesra Petronas ataupun mahu menukarkannya kepada ganjaran Real Rewards. Memandangkan mata ganjaran ayah aku pada masa itu sudah mencecah lebih 25,000 maka dia mengambil keputusan untuk menukarkannya. Ayah aku setuju untuk mengambil sebuah sandwich maker berjenama ELBA yg bernilai 22,500 mata dan mata yang selebihnya untuk dipindahkan ke Kad Mesra yang baru.

Setahun berlalu...

Pada awal Julai lepas aku menerima newsletter dari pihak Real Rewards di mailbox ayah aku, menandakan keahliannya masih lagi aktif. Teringat tentang transaksi penukaran tahun lepas, aku tanya kat ayah aku sama ada dia sudah menerima item yg di redeem. Aku terkejut bila ayah aku memberitahu item itu tak pernah sampai pun walaupun dah lebih setahun redemption dilakukan. Maka aku pun mula cuba untuk track balik transaksi tu melalui akaun Real Rewards ayah aku di internet. Malangnya transaksi itu sudah tidak wujud lagi, dan aku terpaksa menghantar e-mel kepada pihak Real Rewards 3 minggu lepas untuk bertanya tentangnya.

Dan baru-baru ini pihak Real Rewards telah menelefon ayah aku. Real Rewards menjelaskan bahawa item yang ditukarkan itu sudah tiada lagi dalam senarai penebusan ganjaran. Sekali lagi tanpa memberi sebarang pilihan, pihak Real Rewards mengambil keputusan sendiri untuk menukarkan item tersebut kepada 13 baucer COSWAY yang setiap satunya bernilai RM10 (jumlah RM130), yang mana tiada satu pun antara produk keluaran syarikat ini termasuk dalam kategori keperluan ayah aku mahupun ahli keluarga kami yang lain.

Dalam surat ini juga dinyatakan bahawa mereka gembira kerana ayah aku telah melakukan penebusan baru2 ini, TANPA sebarang permohonan maaf di atas kesilapan mereka. Hal ini membuatkan seolah2 penukaran ganjaran yg disebutkan sememangnya dilakukan atas kerelaan ayah aku tanpa mengambil kira bahawa pihak Real Rewards sendiri yang telah menentukan ganjaran tersebut tanpa mengambil kira hak ayah aku sebagai ahli/pelanggan untuk menukarkan ganjaran mengikut keperluan. Diingatkan sekali lagi bahawa masalah ini telah timbul akibat kesilapan pihak Real Rewards, bukan dari pihak kami.

Kami sangat kecewa dengan perkara ini. Pihak Real Rewards seolah2 tidak ambil peduli langsung tentang hak ahli mereka yang setia, terutamanya ayah aku yg pernah mencapai status keahlian VVIP suatu masa dulu kerana penambahan mata ganjaran yang sangat pesat. Inikah cara Real Rewards memberi ganjaran kepada ahli2, yang telah banyak membantu memberi sokongan kepada semua cawangan syarikat yang terlibat dengan pengumpulan mata ganjaran mereka?

Tujuan aku menulis entry ini adalah sebagai panduan kepada ahli-ahli Real Rewards yang lain seandainya perkara yang sama berlaku terhadap mereka. Sekiranya ada yang bersetuju untuk mengumpul suara ahli2 yang lain tentang perkara ini, sila contact aku. Pada aku, KPDNKK perlu menyiasat perkara ini agar para ahli tidak terus tertipu oleh program-program mata ganjaran yang ada. Mata ganjaran mengambil masa yang sangat lama untuk dikumpul, dan memandang ringan terhadap proses penebusan menggambarkan seolah2 hak kepenggunaan ahli bukanlah sesuatu yang serius.

Setelah apa yang berlaku, buat masa ini keluarga aku belum bercadang untuk terus menggunakan kad Real Rewards lagi.


Comments seterusnya...