Belasungkawa Kunaini Bohri (1984-2011)

oleh sorensen pada 01 Jun 2011 dalam , ,

Sahabat,

Kau pernah membuat aku ketawa. Mana mungkin aku lupa?

Aku mengenalimu sejak tingkatan 4, dan sehingga sejak ini aku dan teman-teman kita tak pernah melupakanmu. Siapa mungkin bisa lupa Kunaini Bohri, yang lawak jenaka lucunya tidak pernah membuat kami kering gusi bersama kamu. Sebut saja dari dalam kelas, sehinggalah di luar malah di rumahku juga kau tak pernah berhenti membuat aku ketawa. Malah, ibuku pernah berkata pada kamu. Andaikata di rumah ini dia tidak pernah mendengar aku ketawa seperti itu sehinggalah kamu datang ke sini. Itulah yang aku kenang, Kunai.

Kau pernah membuat aku kagum. Mana mungkin aku lupa?

Hahah. Sejak kita bertemu kembali dalam beberapa tahun kebelakangan, nampaknya kau sudah begitu berjaya dengan bisnes itu. Malah kau pernah memujukku untuk menyertainya tapi aku enggan. Apalah dayaku yang belum bekerja ini, ingin menyertai perniagaan bermodal besar seperti itu? Dan pernah juga beberapa ketika aku berdolak dalih denganmu dengan pelbagai alasan untuk tidak menyertai apa yang kau telah promosikan itu tapi aku masih enggan. Namun begitu, aku tumpang gembira melihat kejayaanmu. Ketika hayatmu kau sempat menjelajah ke beberapa negara hasil titik peluh dan usahamu, sememangnya rezeki yang Allah turunkan kepadamu kerana kau seorang yang tabah, dan tidak mudah patah semangat untuk memperbaiki mutu hidup keluargamu. Itulah yang aku kenang, Kunai.

Dan hari ini, kau membuatkan kami semua terkedu.

Entri ini akan menjadi kenanganku buat selama-lamanya. Rata-rata teman kita sukar mempercayai kau telah tiada lagi bersama kami. Pahit bagi kami menerima pemergianmu, aku rasa lebih pahit lagi buat ahli keluargamu untuk menerimanya. Kunai, kamu tidak pantas meninggalkan kami secepat ini. Kenangan persahabatan kita terasa masih terlalu baru, dan rasanya aku masih belum sempat untuk meminta maaf kepadamu atas segala kesalahan yang pernah aku lakukan. Aku sayangkan kamu sahabatku, walau apapun yang pernah aku lakukan dan perkatakan tentangmu.


Dan andaikata ini warkah pertama dan terakhir yang pernah akan kutujukan kepadamu, walau tidak sempat memohon maaf sekalipun, izinkanlah aku menyedekahkan Al-Fatihah. Sebagai tanda aku sangat menyayangimu. Semoga kau tenang di alam baqa'. Segala kemesraan, senda gurau dan gelak tawamu pasti akan sangat kami rindui.

Allahyarham Kunaini bin Bohri


Comments seterusnya...