Antara cinta & keluarga

oleh sorensen pada 17 Jun 2011 dalam

Bila aku mula bersuara bisu di sini, bermakna memang aku sudah tiada tempat lain untuk mengadu. Kecuali ya, cuma beberapa orang teman rapat saja yang tahu perihal perit ini secara terperinci.

Ke mana aku nak pergi?

Kata orang keluarga itulah segalanya. Dari ibu bapa kita dilahirkan, dan pertalian darah antara saudara pula tak akan putus biar berpatah arang sekalipun. Tapi bagaimana pula kalau suatu hari tiba-tiba kita menyedari, andai ada sesuatu di luar sana yang mampu menjadi punca kebahagiaan yang memenuhi satu ruang kosong dalam hati?

Tanpa menyedari, sesuatu itu adalah satu cebisan kisah pahit saudara sendiri?

Ini pertama kali aku mengalaminya. Dan ia sangat menyakitkan, bahkan aku sendiri tak pernah menyangka akan terjebak dalam kisah cinta seperti ini. Apa dunia ini terlampau kecil sehingga aku perlu dipertemukan dengannya? Dan kalau itu belum memadai, insan itu juga tetap tidak lari dari kelemahan-kelemahan yang pernah aku temui sebelumnya. Kenapa aku perlu melalui semua ini, apa memang tidak wujudkah jalan kebahagiaan lagi untuk aku?

Kadang-kadang aku semakin penat dipertemukan dengan orang yang salah. Aku penat untuk berkorban, memberikan komitmen sehabis baik dan menghabiskan waktu dengan harapan akhirnya pengorbanan aku akan dihargai. Walhal aku tak pernah sekalipun mengharapkan apa-apa balasan material, cukuplah seandainya cinta yang aku beri pada seseorang itu terbalas dengan cara yang wajar.

Atau memang aku silap kerana memaksa diri menjadi terlampau setia pada seseorang, sehingga pada satu tahap aku merasa diri sendiri sudah tiada nilainya dan langsung tidak berguna? Mungkin juga wujudnya aku di atas muka bumi ini semata-mata untuk berkorban demi kebahagiaan orang lain? Dan andaikata pengorbanan ini mampu membahagiakan kamu saudaraku, biar aku berkorban. Walaupun sangat sukar melupakannya, kerana untuk seketika dia pernah membantu melenyapkan kesakitan lama dari hatiku. Kali ini, cuma masa yang akan menentukan kalau aku masih layak, dan sudi menerima cinta lagi. Kepercayaan yang ada dihadapan bagiku sekarang hanyalah jalan-jalan kegelapan.

Kerana aku sudah terlalu penat untuk berkorban.


Comments seterusnya...