Lima bulan setelah kau tiada...

oleh sorensen pada 16 Februari 2013 dalam ,


Tulisan ini mungkin agak panjang dan terlalu peribadi. Aku pun tak pasti adakah ini perlu, dari mana harus memulakannya dan bagaimana ini harus ditulis. Sebenarnya aku dah sedaya upaya memendam perasaan ini seorang diri, aku cuba untuk tak menyebut perkara ini terlampau kerap di media sosial sebab aku tak nak nanti kawan-kawan akan rasa menyampah atau fikir yang bukan-bukan. Sebab aku percaya, sebanyak mana pun ia cuba diluahkan dalam bentuk kata-kata orang tak akan faham. Tapi rasanya aku tak dapat simpan perkara ini lebih lama lagi, sebab aku mula merasakan kesannya pada kehidupan peribadi, kepercayaan diri dan momentum aku untuk meneruskan kehidupan.

Aku kurang pasti kalau ada kawan-kawan lain yang merasai kehilangan Omar seberat mana aku merasainya. Sepanjang 5 bulan selepas pemergian Omar, jujur aku katakan sampai sekarang aku masih lagi struggle untuk menerima kehilangan dia sepenuhnya. Mungkin aku pernah bercerita serba sedikit tentang keakraban kami, tapi rasanya tak ada yang tahu secara terperinci tentang perkara itu. Apa sejarah perkenalan kami, apa yang telah sama-sama kami lalui, dan yang paling penting apa personaliti yang ada pada Omar yang telah membentuk karakter aku pada hari ini.

Pada awal perkenalan kami di kampus pada tahun 2004, Omar pada asalnya adalah seorang yang sangat pendiam. Sangat sukar untuk kami menilai keperibadian dan kecenderungan dia pada ketika itu. Tapi mungkin disebabkan dia mengambil jurusan Drama dan Teater, sedikit sebanyak itu telah mengubah dia menjadi seorang yang lebih expressive, mudah bergaul serta kurang memendam perasaan dan berahsia. Dari situlah sebenarnya Omar banyak menyumbang kepada perubahan identiti aku secara fizikal dari segi intonasi percakapan dan ekspresi. Apa lagi bila ditambah dengan faktor persamaan bahasa dan keserasian, menyebabkan lebih mudah 'karakter baru' Omar menyerap ke dalam diri aku. Persahabatan kami selama beberapa tahun telah membentuk satu 'budaya' dalam kelompok kami sekawan. Mungkin terlampau berlebihan bunyinya, tapi itulah saja perkataan yang dapat aku gambarkan. Mengapa aku katakan budaya? Kerana hanya kami sahaja yang tahu sesetengah istilah, gestures, minat, lawak jenaka (yang berkembang dari masa ke semasa dan akhirnya menjadi tradisi/rujukan dalam kelompok kami) dan tahap keserasian antara satu sama lain (siapa yang lebih rapat dengan siapa, apa yang boleh dibualkan dengan siapa dan sebaliknya). Ikatan inilah yang sudah menjadi sebati selama bertahun-tahun, dan kerana itu ia terlampau melekat dalam diri aku dan sukar untuk dipisahkan. Setelah dia tiada, hilanglah satu tali pengikat keakraban antara kami. Sementelahan pula dia amat rapat denganku, aku terasa bagaikan hilang tempat untuk aku meluahkan satu sisi diriku yang lain, yang tak akan dapat difahami oleh ahli keluarga mahupun teman-teman biasa. 

Kawan-kawan lain janganlah berkecil hati, maksudku bukanlah kamu tidak istimewa. Cuma bezanya ada satu sudut dalam diri aku ni yang cuma Omar mampu memahami selok-beloknya, dan ianya lebih daripada sekadar 'orientasi itu' (kalau kamu faham apa yang aku maksudkan). Setelah pemergian Omar, aku seperti kehilangan arah. Mengenang semula semua yang telah kami lalui, aku rasa seolah-olah pemergian Omar adalah kehilangan sebahagian dari diri aku. Memang aku merasakan hidup aku terlampau kosong dan sunyi tanpa dia. Kalau dulu, bila saja aku mendapat sebarang lagu bergenre Melayu klasik dan retro yang sama-sama kami minati, pantas saja aku kongsikan pada Omar. Pernah sekali Omar menghantar SMS padaku menyuruh membuka TV1, rupanya rancangan Malar Segar sedang disiarkan dan dia tahu aku amat meminati Rafeah Buang. Tak lupa di kala aku mengalami masalah peribadi dan memerlukan seseorang untuk mendengar, Omarlah tempat aku mengadu semuanya. Kami berdua mampu bertutur dalam bahasa Melanau (dia bertutur dalam bahasa Melanau Matu-Daro daripada ayahnya, aku pula menggunakan Melanau Belawai-Rajang daripada ibuku tapi kedua-duanya mempunyai banyak persamaan) membuatkan komunikasi kami terasa amat jujur dan natural. Dan kerana itulah aku lebih selesa meluahkan perasaan kepada dia berbanding dengan kawan-kawan yang lain, dan dia juga setia mendengar dan pandai menenangkan perasaan aku yang berkecamuk pada waktu-waktu tertentu.

Pertemuan terakhir kami pada April 2012 itu rasanya masih terlalu baru. Akulah yang bertanya keadaan kesihatan dia, yang pada ketika itu sudah kelihatan cengkung dan tidak bermaya serta kulit tangannya mulai mengelupas dan kemerah-merahan. Masih aku ingat apabila ditanya, tidakkah dia risau melihat keadaan dirinya seperti itu. Dia menjawab, "Siapa yang tak risau, tapi aku tak nak fikir sangat. Nanti kalau aku bingung, makin parah pula jadinya." Dia juga ada memberitahu masalah itu mungkin disebabkan dia kekurangan rehat kerana bekerja sebagai receptionist di sebuah hotel dengan syif kerja antara 7 malam hingga 7 pagi. Kemudian kami berpisah, dan pertemuan itu hanya disusuli beberapa perbualan telefon antara aku dengannya. Pada awal Julai dia ada menelefon aku, meminta aku memeriksa harga tiket penerbangan untuk dia pulang dari KL ke Sarawak. Sempat juga aku bertanya keadaan dia adakah semakin pulih, dia hanya mengiyakan walaupun aku terdengar dia terbatuk beberapa kali sepanjang perbualan kami. Dan itulah kali terakhir aku mendengar suara Omar untuk selama-lamanya.

Pada petang 17 September 2012, aku dikejutkan dengan mesej BBM dari seorang kawan yang memaklumkan bahawa dia sudah meninggal dunia.

"Aku x minta utk d ingati selalu,cuma aku harap,cukuplah seminit korang ingat aku.Itu cukup bermakna...sayang semua."

Itulah ungkapan Omar dalam salah satu entry blognya, dan baru sekarang aku faham apa yang cuba dia sampaikan. Walaupun tak sesekali aku menyalahkan takdir, namun hingga sekarang aku masih kesal kerana tak menyangka dia akan pergi secepat itu. Aku kesal di saat akhir hidup Omar aku langsung tidak teringat padanya, sedangkan saat terlantar itulah dia sangat memerlukan kehadiran sahabat-sahabat untuk datang menjenguknya. Dan kekesalan itu tak pernah hilang. Bukan hanya seminit dua, malah siang malam aku merasa bersalah. Layakkah aku menganggap diri ini sebagai sahabat setia walhal aku bergelak ketawa ketika dia sedang bertarung dengan sakaratul maut, dan leka bersantai ketika jenazahnya sedang diusung ke liang lahad?

Aku sangat rindu padanya. Melihat semula foto-foto lama, mencari catatan lepas yang tertulis di dalam blog tinggalannya dan blog aku sendiri, dan membaca semula cebisan-cebisan SMS daripadanya yang masih tertinggal di telefonku kadangkala membantu mengurangkan kerinduanku pada dia. Walaupun ada masanya aku rasa sudah dapat meneruskan kehidupan, kehadiran Omar sekali sekala dalam mimpi membuatkan aku tahu. Bahawa jauh di dasar hati aku amat merindui dia, dan aku tak dapat berbohong pada diri sendiri. Ada masanya juga bila aku ada sesuatu yang hendak diluahkan, aku tuliskan saja mesej ke chatbox Yahoo Messengernya yang sudah terbiar itu. Biarlah, mungkin itu dapat membantu aku menebak kata-kata semangatnya kepadaku sekiranya dia masih ada, ataupun meyakinkan diri bahawa dia sememangnya "masih ada" dan walau di manapun dia... dia masih mendengar.

Kalaulah dia tahu betapa aku amat berterima kasih padanya kerana mengajarku erti persahabatan sejati, kerana membantu meluaskan pergaulanku, kerana selalu ada ketika aku sedang susah, dan kerana mempercayai aku sama seperti aku mempercayainya. Dan betapa kesalnya aku kerana tak sempat membalas jasanya selayaknya sebagai seorang sahabat. Biarlah Tuhan saja yang tahu apa yang aku rasa.

Sukarnya melalui kehidupan ini tanpa kau sahabat. Tiada lagi ucapan harijadi "yang ke-21" darimu saban tahun, tiada lagi gelak tawa ceria dan tiada lagi keletah lucumu diusik. Hanya airmata mengiringi bacaan Al-Fatihah buatmu. Dan sebagai peringatan pada diri sendiri bahawa suatu hari nanti aku juga pasti akan mengikuti jejak langkahmu menuju ke sana.


2 komen seterusnya...