Perutusan 2011

oleh sorensen pada 01 Januari 2011 dalam , ,

Sebagaimana status yang tertulis di facebook beberapa hari yang lalu. Begitu banyak sekali perkara yang hendak diceritakan, begitu banyak sekali ruang yang ada di sini, namun agak malang sekali begitu sedikit daripadanya yang boleh disampaikan kepada orang. Dan sebagaimana banyaknya perubahan yang berlaku terhadap genre serta interface blog ini sepanjang tahun 2010, sebanyak itu jugalah usaha yang telah cuba aku lakukan untuk mengubah kebiasaan format penulisan yang pernah aku gunakan selama lebih 3 tahun menulis di sini. Dan untuk mengekalkan tradisi tahun-tahun sebelumnya, entry sempena tahun baru tetap akan aku tulis dengan unsur-unsur peribadi sepenuhnya.

Entry ini dalam perancangan sepatutnya ditulis dalam bentuk kronologi. Tapi lepas difikirkan, cukuplah semuanya dilalui sekali sahaja. Membaca kembali entry-entry lepas pun tidak terperi sakitnya, apa lagi hendak menceritakannya kembali. Jadi aku batalkan saja niat itu.

Seboleh-bolehnya aku ingin sekali menghindar daripada bercerita tentang cinta yang telah berlaku pada tahun lalu. Tapi bohonglah kalau aku tidak kisah tentangnya, kerana sebahagian daripada cerita-cerita itu telah banyak mengubah aku menjadi apa yang ada sekarang. Pengalaman dalam tahun lalu banyak memberi pengajaran kepada aku bahawa cinta boleh berbeza-beza mengikut kehendak seseorang. Ada orang bercinta untuk mengubati rasa sunyi. Ada orang bercinta untuk memuaskan nafsu serakah. Dan ada juga yang bercinta kerana mahu mengambil kesempatan. Tapi apa yang aku tak tahu, ada sesetengah orang memilih untuk bercinta kerana takut dihantui cerita masa lalu. Dan tak terkecuali akulah orang itu. Kalau sebelum ini, pada aku cinta barulah yang akan menyelesaikan semuanya. Tapi akhirnya, tidak juga. Bahkan harga yang aku terpaksa bayar untuk cinta kali ini agak mahal, iaitu kehilangan hampir semua kepercayaan terhadap cinta-cinta yang akan datang. Bagaimana semua ini akan berubah kembali, biarlah masa saja yang menentukan.

Berakhirnya pengajian di UPM dalam tahun lalu bermakna berakhir jugalah zaman mengecapi kemanisan hidup di universiti. Walaupun aku pernah menyuarakan kerisauan tentang kesediaan untuk mengharungi kehidupan selepas belajar, tapi kehidupan selepas bergraduat tidaklah seteruk yang aku gambarkan. Memanglah, mencari dan menanti peluang pekerjaan bukan sesuatu yang menyeronokkan apatah lagi hendak dilakukan lama-lama. Tapi dengan situasi sekarang, tak banyak yang dapat dilakukan. Cuma aku tak sabar-sabar nak memulakan hidup bekerjaya. Nak pegang duit sendiri, nak beli apapun tak ada orang melarang. Yang penting, kalau ada rezeki beberapa bulan sekali aku akan turun ke KL menjengah kawan-kawan di sana. Aku rindukan mereka sepanjang masa. Cuma mungkin bukan rezeki aku untuk bekerja di sana, sebab aku mengambil keputusan untuk bekerja dan menetap dekat dengan keluarga. Sudah sampai masanya untuk berhenti merantau dan mula berbakti.

Walaupun tak dinafikan secara semulajadi aku memang rebellious (berjiwa penentang), tapi tidak pernah pula aku merasakan sisi penentang itu boleh menjadi sebagus yang telah aku bentuk dalam tahun ini. Aku merasakan sekarang aku lebih berani. Berani untuk menyuarakan pendapat, rasa tidak puas hati dan berani mengambil risiko untuk melakukan perubahan. Dan hasilnya, situasi hubungan kekeluargaan di rumah juga sudah boleh dirasakan perbezaannya. Berbanding sebelum ini ketika semuanya penuh dgn rahsia dan terlampau diskrit, sekurang-kurangnya apabila aku memberanikan diri untuk mengubah situasi itu keadaan menjadi bertambah baik dan nasib aku di mata ahli keluarga juga menjadi semakin terbela.

Tahun 2010 juga memperlihatkan aku telah mendaftar menjadi pengundi. Aku hargai bantuan seorang sahabat siber yang telah aku kenali lebih 4 tahun kerana banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar sehingga hatiku terbuka untuk melakukan perkara itu, yang sebelum ini lama aku rasa tidak akan mendatangkan sebarang faedah untuk dilakukan dalam negara satu parti politik dominan seperti negara kita. Alhamdulillah, semoga ini petanda bertapaknya selangkah lagi kematangan dan titik permulaan kepada satu perubahan.

Aku tak mahu berselindung tentang azam untuk tahun yang baru bermula ini. Yang aku mahu hanyalah pekerjaan, rezeki, duit, duit dan duit. Aku tak mahu mengharapkan perkara lain buat masa sekarang. Walau apapun yang berlaku, laptop yang uzur ini harus diganti dengan yang baru. Ya, 2011 bakal menjadi medan peperangan untuk mendapatkan duit a.k.a pekerjaan. Ada cabaran besar yang sedang menunggu di hadapan.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2011. Sempena tahun baru ini aku doakan semoga keluarga, teman dan sahabat sekalian sentiasa dikurniakan lindungan dan limpahan rahmat dari Allah s.w.t.


Comments seterusnya...