Kajian Etnografi Kg. Ulu Mengkuang, Selama, Perak.

oleh sorensen pada 01 Mac 2010 dalam

Semlm aku baru je balik dari menyertai program anak angkat di Perak. Program ni sebenarnya dijalankan utk memenuhi syarat subjek komunikasi interpersonal ktorg. Boleh la tahan gak penatnya, sbb tempat yang ktorg pegi tu agak jauh.. ditambah plak dgn jadual aktiviti yg ada.

Catatan kat bawah ni merupakan jurnal sebenar yg aku akan submit kpd lecturer subjek ni nanti. Kne buat sbb markah 10%. Mulanya malas la nak bubuh kat sini, tapi bila baca balik mcm best plak kalau share. So tanpa membuang masa, hayatilah perjalanan, pengalaman dan perasaan aku sepanjang empat hari berada kat sana.

Hari Pertama (25 Februari 2010)

12.10pm
Perjalanan dari UPM ke Kampung Ulu Mengkuang, Selama, Perak bermula setelah selesai mengambil semua rakan dari KC, KPZ dan Kolej Serumpun.


2.20pm
Berhenti rehat selama lebih kurang sejam di R&R Tapah.


3.40pm
Perjalanan diteruskan.


5.00pm
Aku dan kawan-kawan tertawa kerana keadaan jalan yang beralun, dan perjalanan mendekati Kampung Ulu Mengkuang melalui kawasan Bukit Merah membuatkan bas kami mengiring serta bergoncang. Kami bergurau sesama sendiri, memegang handle pada tempat duduk bas dan membuat gaya seperti orang menjerit ketika menaiki roller coaster. Seorang kawan melihat papan tanda Genting Plantation yang mana merupakan pemilik hak penanaman kelapa sawit di kawasan berkenaan, dan mengatakan mungkin disebabkan itu ia berkeadaan sebegitu rupa, bagaikan bermain permainan outdoor di Genting Highland. Ternampak kerbau di tepi jalan, namun aku sangkakan badak. Bukan aku seorang saja, ada rakan lain juga memikirkan hal sama.


6.50pm
Alhamdulillah, kami akhirnya sampai ke destinasi yang dituju. Tanggapan pertama aku terhadap tempat ini tak dapat ku gambarkan. Persekitaran fizikal dan sosial di sini padaku agak tradisional dan konservatif berbanding semua kampung yang pernah aku kunjungi sebelum ini. Aku mula merasakan cabaran yang agak besar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.


7.00pm
Majlis menyambut anak-anak angkat berlangsung di Balai Raya Kampung Ulu Mengkuang. Aku bersama seorang lagi rakan iaitu Faiz dipilih untuk ditempatkan di rumah Pn. Zainab Sha'ari. Beliau sudah berusia 62 tahun dan sangat mesra dengan kami walaupun baru berjumpa. Namun demikian, rumah ibu angkat kami bukanlah terletak di Kampung Ulu Mengkuang, sebaliknya di Kampung Sg. Kuning iaitu berjarak lebih kurang 10 minit perjalanan menaiki motosikal dari situ. Kelebihannya, Kampung Sg. Kuning mempunyai liputan telefon bimbit yang sangat baik berbanding Kampung Ulu Mengkuang. Mungkin kerana sudah bersedia dari sudut mental, aku tidak terlalu terkejut melihat keadaan rumahnya. Bukanlah teruk, cuma biasalah rumah kampung. Cukup mengingatkan aku keadaan rumah arwah nenek semasa zaman kanak-kanak dulu. Sedikit moden, tapi sangat tradisional terutamanya pada struktur bahagian dapur, bilik air dan tingkat atas rumah. Di belakang rumah ini terdapat sebatang anak sungai yang hanya berjarak beberapa meter sahaja dari dapur. Aku mencari tandas namun tidak dapat menemuinya, hendak bertanya segan pula pada tuan rumah. Satu perkara yang agak mengejutkan aku, ibu angkatku mengatakan tidak perlu risau tentang kecurian di kampung ini kerana ia tidak akan berlaku, sehinggakan pintu rumah ini tidak perlu dikunci pada waktu malam!


9.00pm
Bersantai bersama keluarga ibu angkatku. Kami dilayan dengan begitu baik sekali. Ibu angkatku tinggal bersama seorang anak lelaki dan cucunya di rumah ini. Celoteh mereka membuatkan aku dan Faiz tidak kekok untuk beramah mesra dengan mereka, ditambah lagi dengan kehadiran beberapa sanak saudara yang datang ke rumah. Tanggapanku sedikit meleset, kerana dari sudut pergaulan dan pemikiran kelihatannya keluarga ini tidaklah terlalu konservatif seperti yang aku sangkakan. Aku mula sukakan persekitaran ini. Orang yang ramai, namun tidak merimaskan. Aku tidak mempunyai masalah memahami pertuturan mereka kerana mereka di sini menggunakan bahasa utara. Loghat utaranya juga kurang pekat berbanding dengan yang digunakan di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Selain itu, aku juga tidak mengalami sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan cara mereka berkomunikasi termasuk dengan ibu angkatku yang sudah agak berusia.


11.00pm
Mata mula mengantuk. Aku dan Faiz sudah masuk ke dalam bilik, berbincang tentang perkara yang hendak dilakukan esok hari. Masing-masing kebingungan mengenai tempat perjumpaan dan pakaian yang hendak digunakan. Aku bernasib baik kerana Faiz mengenali dan sudah biasa dengan pengarah program ini, justeru tiada masalah untuk mendapatkan maklumat sekiranya ada sebarang masalah.


Hari Kedua (26 Februari 2010)

7.30am
Bangun dan bersarapan bersama ibu angkatku dan cucunya. Sebelum mandi aku mencari tandas, dan pagi ini barulah aku tahu bahawa ia berada di luar rumah. Ya, rumah ini memang cukup tradisional!


9.00am
Kem motivasi pelajar UPSR/PMR/SPM ditangguhkan ke pukul 3 petang. Waktu ini cuma digunakan untuk memberi penerangan tentang perjalanan akiviti pada petang ini, termasuk majlis perasmian.


3.00pm
Kem motivasi pelajar dijalankan di S.K. Ulu Mengkuang. Cuaca yang panas menyebabkan aku dan beberapa orang rakan terpaksa keluar sedikit awal dari majlis untuk membeli minuman.


5.30pm
Majlis Perasmian Kajian Etnografi 2010 dilangsungkan di Balai Raya Kg. Ulu Mengkuang. Ceramah Maulidur Rasul telah ditangguhkan ke pukul 9.00 malam kerana sedikit masalah jadual aktiviti.
Antara yang turut menghadiri majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Y.A.B Dato’ Hamzah b. Zainuddin (merangkap Ahli Parlimen Larut). Semua rakan peserta kelihatan gembira pada majlis itu, lebih-lebih lagi melihat kemunculan pensyarah kami, Pak Ngah. Hatiku tercuit melihat gelagat pengerusi majlis yang menggunakan intonasi kurang sesuai ketika mengacarakan majlis ini. Hendak dikatakan seperti mempengerusikan majlis makan malam pun bukan, berpidato juga bukan. Protokol mana yang dia gunakan juga aku kurang pasti.

9.00pm
Aku dan Faiz tidak dapat menghadiri Ceramah Maulidur Rasul kerana jarak rumah keluarga angkat kami yang agak jauh dari tempat majlis. Aku juga khuatir untuk menunggang motosikal pada malam hari dalam keadaan jalan tanpa lampu kerana haiwan ternakan di sini kerap melintas jalan secara tiba-tiba. Mujur aku, Faiz dan ibu angkatku tidak hadir ke ceramah tersebut, kerana tidak lama selepas itu hujan turun dengan agak lebat. Jalan yang licin pasti akan lebih menyukarkan aku menunggang motosikal kerana belum biasa dengan keadaan jalan di kampung ini.


10.00pm
Masa yang ada kami habiskan dengan berceloteh bersama ibu angkatku. Aku semakin merasa dekat dengan keluarga ini. Aku tidak bosan berbual dengan ibu angkatku bersama ahli keluarganya yang lain. Ibu angkatku berkongsi pelbagai jenis pengalaman tentang pengalaman hidupnya serta situasi sosial masyarakat di tempat ini. Aku semakin memahami struktur kepelbagaian penduduk yang ada di sekitar Ulu Mengkuang, dan yang penting aku sudah tahu punca kepelbagaian bahasa yang digunakan oleh penduduk-penduduk di sini.


Hari Ketiga (27 Februari 2010)

9.30am
Tiba di perkarangan sekolah untuk aktiviti senamrobik. Pagi ini para AJK Aktiviti mengadakan tarian poco-poco.


10.00am
Para pelajar dibahagikan kepada beberapa bahagian. AJK Makanan dan beberapa orang pelajar perempuan menyertai aktiviti memasak bersama orang-orang kampung, manakala yang selebihnya pula terlibat dalam aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan sekolah, surau dan balai raya.


10.30am
Aku dan dua orang kawan termasuk seorang adik angkat mereka menaiki motosikal keluar ke warung yang berada tidak jauh dari situ. Sambil menikmati roti canai dan minuman, kami berbual sesama sendiri menbincangkan tentang selok belok jalan di tempat ini. Pemilik warung tersebut juga mesra pelanggan dan turut berbual bersama kami. Namun ada ketikanya aku berasa agak kurang selesa kerana ada sesetengah perbualan kami yang mungkin tidak perlu didengar dan dicelah olehnya.


11.00am
Kami kembali ke tempat aktiviti. Tidak lama kemudian makanan pun siap dihidangkan. Hidangan-hidangan yang ada hampir mirip seperti makanan tradisional yang ada di kampungku sendiri. Cuma aku agak tertarik dengan hidangan masak lemak ikan masin campur nenas, serta ikan pekasam. Ada juga ayam goreng, yang mana sememangnya tidak pernah dihidangkan pada sebarang majlis istimewa atau kenduri yang pernah aku hadiri di mana-mana sebelum ini.


3.00pm
Aku dan Faiz bersama-sama menaiki motosikal menuju ke Lata Tebing Tinggi. Tempat ini adalah kawasan air terjun yang sangat popular bagi penduduk kawasan sekitar daerah Selama sehinggalah ke Taiping. Sebelum itu kami telahpun berjanji dengan kawan masing-masing untuk berjumpa di sana. Ada juga kawan-kawanku yang datang bersama-sama keluarga angkat mereka. Seronok bermandi-manda di tempat tersebut, sampaikan kulit muka aku menjadi merah kerana cuaca agak panas. Walau bagaimanapun, aku tetap ingat pesan ibu angkatku supaya berhati-hati di tempat itu kerana ada beberapa pengunjung sebelum ini yang tersilap pilih tempat untuk mandi dan telah meragut nyawa mereka kerana terhantuk dan terperangkap di celahan batu.


5.30pm
Aku dan Faiz pulang semula ke rumah. Ibu angkatku sedang menggoreng cucur udang di dapur bersama saudaranya. Terpegun aku melihat cucur udang itu, bukan sahaja kerana saiznya yang agak besar tetapi juga kerana aku dapati tidak ada satu pun antaranya yang mengandungi isi udang. Sama ada kerana ia telah dikisar, aku kurang pasti. Selepas itu aku dan Faiz berehat sebentar. Aku berbaring di katil apabila tiba-tiba terasa tidak sedap badan. Mungkin disebabkan terlalu lama berendam di Lata Tebing Tinggi tadi.


8.00pm
Makan malam di ruang tamu rumah. Cuma aku, Faiz dan cucu ibu angkatku sahaja yang makan manakala ibu sendiri bersama ahli keluarga lain sedang menonton televisyen.


9.00pm
Tiba di S.K Ulu Mengkuang. Malam ini ada persembahan kebudayaan oleh kami semua. Unit aku (Peralatan dan Tugas-tugas Khas) dan Unit Publisiti bergabung untuk mempersembahkan nyanyian Rasa Sayang dan Si Paku Geylang. Rasa gementar juga kerana yang menonton persembahan kami bukan sahaja rakan-rakan dari UPM tetapi juga orang-orang kampung. Selain kami, unit-unit lain juga mempamerkan persembahan masing-masing seperti sketsa dan pentomen. Namun disebabkan unit kami membuat persembahan yang pertama, aku merasa sedikit lega.


11.00pm
Aku dan Faiz pulang ke rumah. Agak risau melihat hujan yang turun renyai-renyai kerana khuatir jalan licin. Seperti yang dijangka, memang banyak lembu yang berkeliaran di tengah-tengah jalan pada waktu malam begini. Aku menyuruh Faiz sahaja yang menunggang motosikal malam ini kerana penglihatan mataku agak kurang jelas di dalam gelap. Sesampai di rumah, ibu keluar dari bilik. Terharu juga aku, ibu sanggup bangun tidur semata-mata ingin bertanya pada aku dan Faiz sama ada mahukan dia membancuhkan minuman untuk kami berdua.


Hari Keempat (28 Februari 2010)

8.30am
Bangun dan bersarapan bersama keluarga ibu angkatku. Aku merasa agak kurang sihat, dan tidak dapat menyertai aktiviti sukaneka di S.K. Ulu Mengkuang. Faiz ke sana seorang diri hari ini.


10.00am
Mula mengemas barang-barangku untuk persiapan pulang pada petang ini. Selepas mandi aku berbaring di bilik saja untuk berehat.


3.00pm
Majlis Perasmian Penutupan berlangsung di Balai Raya Ulu Mengkuang. Selesai ucapan-ucapan penutupan, acara memulangkan anak angkat bermula. Setiap keluarga angkat diberi sagu hati berupa sekaki payung berlogo UPM. Kemudian semua hadirin dijemput menikmati sedikit jamuan ringan.


4.30pm
Masa untuk bertolak pulang ke UPM. Para keluarga angkat turut bersama menghantar anak-anak angkat masing-masing. Bas sudah sedia menunggu di hadapan simpang ke S.K. Ulu Mengkuang. Kesedihan terpancar pada setiap wajah para peserta dan keluarga angkat. Namun demikian ibu angkatku tetap tenang ketika menghantar aku dan Faiz menuju bas.


6.15pm
Berhenti rehat di R&R Sg. Perak. Perjalanan sepatutnya perlu diteruskan pada jam 7.00pm namun kami terpaksa menunggu lama sedikit di hentian itu kerana hujan sangat lebat.


8.00pm
Pejalanan pulang diteruskan.


11.15pm
Selamat tiba di UPM.



Comments seterusnya...