Michael Jackson (1958-2009) : Perginya seorang SUPERSTAR

oleh sorensen pada 26 Jun 2009 dalam

Terus terang, aku bukanlah peminat selebriti yang satu ini. Baik dari segi genre muzik yang dibawanya, mahupun kisah peribadi dan gosip tentang dirinya. Namun siapa yang tidak mengenali Michael Jackson? Selebriti antarabangsa ini telah meraih populariti melalui pelbagai cara sepanjang hidupnya, yang mungkin aku pun tak akan faham kenapa ia boleh terjadi andaikata aku mengambil kira pandangan peribadi aku terhadapnya.

Adakah gelaran "King Of Pop", 5 album solo dari tahun 1979 hingga 1995 dengan jualan keseluruhan sebanyak 750 juta unit dan 123 buah konsertnya yang pernah diadakan itu merupakan hanya faktor yang membawa kepada popularitinya? Sebut sahaja apa yang tak pernah dilakukan Michael Jackson. Muziknya menjadi siulan, gerak tarinya menjadi ikutan. Pembedahan plastik yang telah menukarkan warna kulitnya mungkin tidak (akan) pernah dilakukan oleh selebriti kulit hitam yang lain.

Fesyen pakaiannya walaupun jarang (atau tidak mungkin) menjadi trend akan tetap sebati dan sinonim terhadap dirinya sepanjang zaman. Kontroversi pencabulan kanak-kanak yang pernah berlaku terhadapnya dipandang jijik oleh semua pihak, namun itu menjadi satu lagi alasan mengapa wajahnya seringkali menghiasi akhbar-akhbar tabloid dan kaca TV. Apabila dibicarakan, sempat lagi selebriti yang satu ini melakukan kesalahan di mahkamah, iaitu jenayah fesyen.

Justeru menjadi persoalan, adakah populariti Michael Jackson hanya sekadar kerana idea muziknya sahaja? Jika dilihat dari sudut kaca mata para peminatnya, mungkin Michael Jackson merupakan lebih kepada satu obsesi dalam industri muzik antarabangsa.

Walau apapun pandangan terhadap dirinya, dialah bintang yang baru sahaja meninggalkan para peminatnya pada hari ini dengan 1001 kenangan. Suka atau tidak, hakikatnya dia adalah warna dunia hiburan, dan dunia hiburan adalah dirinya. Sama ada ia menghiburkan, ataupun sebaliknya.



3 komen seterusnya...

3 komen