BUNS and GUNS : Restoran ala tentera!
oleh sorensen pada 02 Julai 2008 dalam info
ANDA boleh memesan sandwic Kalashnikov selepas melihat menu berbentuk peluru yang disediakan oleh tukang masak di sebuah restoran makanan segera di pinggir Beirut, Lebanon. Restoran itu diberi nama Buns and Guns dan di luar restoran itu, hiasan dilakukan seolah-olah kelihatan seperti sebuah kubu tentera.
SENARAI hidangan dalam menu yang dihiasi gambar selaras senjata api dipamerkan di restoran Buns and Guns, pinggir Beirut, Lebanon.
Konsep baru itu merupakan idea pemiliknya, Ali Hammoud di mana dia berkata, konsep sedemikian tidak mempunyai kaitan dengan sejarah pertumpahan darah di Lebanon, baru-baru ini.
"Ia merupakan satu idea yang saya miliki, tidak lebih daripada itu.
DUA pelanggan duduk di pekarangan restoran Buns and Guns
"Saya boleh meletakkan patung mainan di tempat beg-beg pasir di luar restoran itu dan anak patung beruang berbanding senjata api.
Namun, ia hanya merupakan satu idea," kata Ali.
"Anda boleh menyatakan bahawa keadaan di negara ini menyebabkan orang ramai memberikan perhatian," katanya yang duduk di luar restorannya yang menjadi popular di kalangan remaja.
"Idea itu datang sebelum pertempuran berlaku di Lebanon.
"Namun, selepas pertempuran berakhir, ia membantu mempromosikan restoran ini," jelasnya.
Ketika kebanyakan penduduk Lebanon bosan dengan pertempuran terbaru termasuk di bahagian utara yang menyebabkan lapan orang maut, ramai penduduk di selatan Beirut menyuarakan kebanggaan terhadap pergerakan Hezbollah.
Mewujudkan sebuah restoran tentera merupakan satu idea yang berani di mana terdapat orang yang suka dengan apa sahaja perkara mengenai senjata api," kata seorang pekerja. Menurut pekerja itu, restoran tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pergerakan Hezbollah. Bagaimanapun, ia beroperasi di kawasan kubu kuat pergerakan itu.
Pistol, peluru dan gambar beberapa senjata lain menjadi hiasan dalaman restoran itu. Terdapat slogan 'Sandwic boleh membunuh anda,' dengan gambar sepucuk pistol di sebalik satu burger, dipamerkan di restoran itu.
Beg-beg pasir diletakkan di sekeliling kawasan luar restoran itu.
Menu yang dihidangkan adalah seeprti sandwic dan burger yang mempunyai nama-nama seperti hidangan pengganas dan RPG iaitu sejenis senjata dan Kalashnikov.
"Kali pertama saya datang ke restoran itu, saya menganggap ia merupakan kedai senjata api.
"Apabila saya membaca nama-nama hidangan, saya masih menganggap ia adalah sebuah kedai senjata api.
"Saya hanya menyedari, tempat itu adalah restoran selepas memasukinya," kata seorang pengunjung, Hussein al-Hajj Ali.
Piza yang mengandungi bawang, cendawan, minyak zaitun, jagung dan tomato diberi nama periuk api Claymore.
Di restoran itu, tukang masak akan memakai topi tentera dan baju celoreng. - Agensi
Dipetik daripada Kosmo! Online