Aplikasi Pengesan Kamera AES Untuk Peranti Android

oleh sorensen pada 18 Oktober 2012 dalam

Bermula 22 September 2012 yang lalu, penggunaan kamera AES (Automated Enforcement System) untuk memantau pengguna jalan raya telahpun dikuatkuasakan di seluruh negara secara berperingkat. Walaupun mendapat kritikan dari sesetengah pihak tentang kewajaran penggunaan kaedah ini, kerajaan masih belum bercadang untuk menarik semula penguatkuasaannya buat masa sekarang. Walau bagaimanapun, pihak JPJ telah mengeluarkan senarai rujukan lokasi pemasangan kamera AES (rujuk di sini) dan juga rujukan titik peta di Google Maps (rujuk di sini).


AES Detector untuk peranti Android

Terbaru, sebuah aplikasi pengesan AES telah direka khas untuk peranti Android. Aplikasi ini dibangunkan untuk membantu pemandu mengesan kamera AES yang berada berdekatan dengan mereka. Bunyi amaran akan dikeluarkan secara automatik untuk mengingatkan pengguna jalan raya apabila ia mengesan sebarang kamera AES dalam jarak 500 meter dari titik pemanduan. Dengan menggunakan aplikasi ini, pengguna boleh mengesan kedudukan kamera AES yang tersenarai di dalam Google Maps dengan lebih tepat dan mudah melalui teknologi GPS yang ada pada peranti Android mereka.

AES Detector boleh dimuat turun secara percuma di Google Play (rujuk di sini).




Comments seterusnya...

Adele - Skyfall

oleh sorensen pada 09 Oktober 2012 dalam



Aku bukanlah salah seorang peminat Adele. Walaupun namanya agak melonjak dalam dunia hiburan antarabangsa sejak tahun lepas, namun genre yang dibawakannya agak kurang menarik minat aku.

Tapi berbeza untuk single release yang ini. Skyfall adalah lagu tema untuk siri filem James Bond yang terbaru berjudul sama. Aku dapati suaranya amat padan untuk membawakan soundtrack ini, sesuai dengan feel klasik yang disampaikan dalam filem-filem Bond sejak awal kemunculannya pada tahun 1962. Di samping itu, lagu-lagu tema daripada siri filem Bond sebelum ini juga tidak pernah menghampakan dan Skyfall meneruskan tradisi keunikannya.

Skyfall tidak akan ditayangkan secara serentak di seluruh dunia. Tarikh tayangannya bermula seawal 26 Oktober di Eropah dan Timur Tengah, 1 November di Asia Pasifik dan diikuti 9 November di Amerika Syarikat dan Kanada.


Comments seterusnya...

Perginya kamu tiada pengganti...

oleh sorensen pada 17 September 2012 dalam , ,

Seorang demi seorang sahabat karibku kembali menghadap Ilahi. Hari ini aku dikejutkan dengan pemergian Omar, yang telah lama aku mengenalinya dan yang telah sama-sama menghadapi pengalaman bersama sepanjang mengharungi usia dewasa.

Aku mengenalinya sejak zaman pengajian di UNIMAS pada tahun 2004. Sebagaimana yang banyak tercatat di dalam laman ini, hubungan kami tidak pernah terputus sejak kami meninggalkan kampus itu dan membawa haluan masing-masing. Antara ramai rakan bekas sepengajian di UNIMAS, akulah antara teman yang paling rapat dengannya lantaran hanya kami berdua yang boleh bertutur dalam Bahasa Melanau.

Pahit getir zaman kampusku di UPM, Omarlah yang banyak mengetahuinya. Sakitnya aku kerana dikecewakan seseorang dulu, Omar jugalah yang banyak membantuku untuk bangkit kembali sehinggalah aku tamat pengajian.

Omar,

Aku tak tahu kalau aku pernah menjadi teman yang terbaik buatmu. Tapi percayalah, sepanjang perkenalan kita engkau lebih dari sekadar sahabat buatku. Dan hari ini kau telah menyedarkan aku, bahawa di dunia ini tiada apapun yang kekal abadi. Dan walau bagaimana sayangnya aku kepada kamu, sahabatku... kau tetap akan pergi. Ke tempat yang suatu hari nanti tetap juga akan aku susuli.


Maafkan aku sahabat, kalau selama perkenalan kita aku pernah menyakiti hatimu. Aku maafkan segala kesalahanmu, aku halalkan segala makan minummu dan aku redha atas pemergianmu. Tapi aku tak dapat membendung kesedihan ini kerana engkau terlalu istimewa, sahabatku.

Pemergianmu sangat dirasai. Dan pastinya aku akan amat merinduimu.

Ya Allah, Ya Tuhanku... Kau rahmatilah Omar bin Abbas, ampunkanlah segala dosa yang telah dilakukannya dan tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang beriman.


Al- Fatihah buat Omar bin Abbas @ Imar Fover
(1984-2012)


1 komen seterusnya...

Fenomena Gangnam Style

oleh sorensen pada 29 Ogos 2012 dalam



Hmm... Kadang-kadang memang aku tak faham dunia hiburan antarabangsa kebelakangan ni. Makin lama makin pelik aku tengok. Sejak 2-3 minggu lepas orang seluruh dunia dah kecoh pasal music video tarian Gangnam Style oleh seorang artis Korea dengan nama jolokkan PSY.

Faktor utama yang menyebabkan aku bukak video ni minggu lepas apabila dikhabarkan tontonan Youtubenya sudah mencecah lebih 26 juta tontonan. So aku fikir, luar biasa benar video ni sampaikan dalam masa sebulan je lepas upload dah dapat views sebanyak tu. Tapi bila aku tengok je, aku bingung. Yang aku nampak cuma seorang lelaki Korea gemuk yang menari dengan cara pelik, kadang-kadang seorang lepas tu berkumpulan. Apa kejadahnya Gangnam style ni sebenarnya?

Bila aku buat post di Facebook untuk bertanya pada kawan-kawan pendapat diorang, diorang kata keistimewaannya terletak pada rentak muziknya yang catchy dan dance-step yang lawak. Tapi aku tak puas hati, aku try baca kat Wikipedia. Apa yang aku faham, "Oppan Gangnam Style" bermaksud "I love Gangnam Style", dan Gangnam Style merujuk kepada gaya hidup mewah yang dikaitkan dengan daerah Gangnam di Seoul. Apa tujuannya, sama ada sebagai sindiran atau lain-lain tidaklah aku pasti. Mungkin cuma orang Korea saja yang faham walaupun hakikatnya trend Gangnam tu dah merebak ke seluruh dunia.

Kat Malaysia ni pun merasa dah tempiasnya. Disebabkan music video tu release dalam pada kita semua nak menyambut raya, maka ada lah pulak video parody Gangnam Style bertemakan Hari Raya dan Kampung Style. Adoi, sungguh aku tak faham. Apa-apa ajelah.




UPDATE: 11/9/2012

PSY telah dijemput menjadi tetamu undangan dalam rancangan talkshow Ellen DeGeneres. Turut diundang pada masa itu adalah Britney Spears, dan PSY telah mengajar mereka melakukan step tarian Gangnam Style di studio!





Comments seterusnya...

Hafiz & Dato' Siti Nurhaliza - Muara Hati (OST Adam & Hawa)

oleh sorensen pada 21 Ogos 2012 dalam



Lagu best detected! Thanks banyak2 pada yg share lagu ni di Facebook, memang tak sia2 sebab aku pun dah jatuh cinta sangat2, maklumla hardcore fans Siti =) Lagu ni sebenarnya single terbaru untuk soundtrack drama Adam & Hawa yang bakal ditayangkan di Astro beberapa hari lagi. Gandingan yang cukup mantap antara Hafiz dan Dato' Siti, memang terbaiklah!

Jangan lupa saksikan Adam & Hawa setiap Isnin - Khamis, 10 malam bermula 27 Ogos 2012 di Astro Mustika HD (saluran 134). MP3 soundtrack ini boleh didapatkan di sini!

Lirik:

Hafiz & Dato' Siti Nurhaliza - Muara Hati

Cinta terpisah ruang waktu
Tetap cinta bersatu dalam hatiku
Walau raga kita tak mungkin bersama
Ku yakini hatikan tetap setia

Kupercaya ke mana pun kau berjalan
Suara cinta menuntunmu kepadaku
Kerna bila cinta sudah bersenandung
Takkan terpisah hati

Demi cinta dalam hatimu
Kuyakin engkau untukku
Meski jejak pisahkan kita
Cintakan bawa kembali padamu

Aku ada kerna engkau ada
Tercipta hatiku hanyalah untukmu
Jalanku berujung padamu
Ke manapun kan pasti kembali

Demi cinta dalam hatimu
Kuyakin engkau untukku
Meski jejak pisahkan kita
Cintakan bawa kembali...

Demi cinta dalam hatimu
Biarkan aku merasuk
Bersatu dalam hatimu
Hanya dirimu dan aku

Demi cinta dalam hatimu
Biarkan aku merasuk (merasuk dalam hati)
Cinta...


Comments seterusnya...